Wednesday, July 11, 2007

Program Peer Coaching

Program Peer Coaching (PPC) merupakan salah satu model pembangunan profesional untuk membantu sekolah meningkatkan pengajaran melalui pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Melalui program ini, guru-guru yang berwibawa akan dilatih sebagai pembimbing kepada rakan sejawat. Mereka berperanan membantu guru yang dibimbing menggunakan ICT untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pencapaian pelajar. Mereka turut membantu rakan-rakan sejawat menguasai kemahiran-kemahiran ICT dan mengenal pasti strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dalam pengintegrasian ICT.

PPC merupakan kesinambungan bagi Program BPPT yang telah berakhir pada Jun 2007. Program BPPT yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru dengan kerjasama Prestariang Sdn. Bhd. (PTSB) dilaksanakan dalam tempoh 33 bulan telah berjaya melatih lebih kurang 100,000 orang guru di seluruh negara.

Tahniah kepada Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia kerana terus berusaha dengan begitu bersungguh-sungguh dalam melatih guru menguasai pelbagai kemahiran.

Kuasa di Hujung Jari

Blog ini direka semasa saya berada di Hotel Capitol, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 11 Julai 2007. Ketika ini, saya menghadiri Kursus Kejurulatihan Aplikasi ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia bermula pada 8 Julai hingga 13 Julai 2007.

Globalisasi memungkinkan dunia berubah dengan pantas. Perubahan itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Salah satunya adalah ICT. Kini ICT merupakan keperluan untuk setiap orang, tanpanya kita berada dalam kegelapan. ICT amat penting kepada kehidupan manusia sehingga ada golongan cerdik pandai berpendapat bahawa sesiapa yang menguasai ICT akan menguasai dunia. Kuasa berada di hujung jari; jari yang dikuasai oleh orang yang memiliki ilmu pengetahuan; jari yang dimiliki orang berhikmat.

Orang yang buta IT akan berada di belakang. Namun, menoleh ke belakang bukan ciri orang yang ingin maju dan berdaya bersaing dalam zaman ini. Bahkan berdiam diri bukanlah pilihan yang bijak dalam dunia yang memerlukan pergerakan dan perubahan. Memandang jauh ke hadapan adalah penjana tindakan yang berkuasa mengubah impian menjadi kenyataan.

Sejurus selepas dilantik mengetuai Unit ICT dan Pengkomputeran, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2007 ekoran daripada penstruturan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, saya terus diarahkan untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu BPPT yang diadakan di Hotel Empress, Sepang pada 1-2 Julai 2007 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom. Menerima tanggungjawab dan amanah itu dengan hati yang terbuka dan fikiran yang tenang, saya sedar bahawa kerja keras, kemahuan untuk belajar, kerelaan untuk diajar, dan kesudian untuk mengajar merupakan antara kriteria yang perlu bagi seorang yang baru dalam dunia apa pun.